Sunday 5 June 2011

USUL Pendidikan (Dewan Muslimat PAS Pusat)

Menyedari hampir keseluruhan umat lslam hari ini keliru dan terpedaya dengan kemilau sinar pendidikan yang berbentuk sekularisme hasilnya  kita sedang menyaksikan  insan yang berperibadi terpisah (split personality), separa sedar (sub-conscious) hilang daya tahan dan daya juang.

Menyedari senario keruntuhan akhlak yang amat parah di setiap peringkat umur, malah yang lebih menakutkan ialah mereka yang terpelajar tetapi berani melawan perintah Allah SWT dan tidak yakin dengan balasan akhirat.

Menyedari  Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah memperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1989 dengan meletakan TAUHID sebagai asas terulung kepada falsafah dan struktur pendidikan Negara. Konsep Bersepadu di antara aqidah, ilmu, kemahiran, akhlak, nilai-nilai murni, aspek local dan global serta dunia dan akhirat menjadi wasilah dalam pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara. 

Menyedari Subjek Pendidikan Islam dan Moral telah menjadi subjek teras di setiap peringkat persekolahan kerana subjek Pendidikan Islam adalah satu-satunya subjek yang mampu membangunkan diri manusia secara menyeluruh, seimbang dan sepadu.
Menyedari Sistem Pendidikan Negara berorientasikan peperiksaan, maka matapelajaran Pendidikan Islam sekadar matapelajaran teras untuk dipelajari sahaja dan dijawab oleh pelajar di dewan peperiksan semata-mata, maka pengajaran dan pembelajarannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.  Ia tidak dianggap penting sama sekali terutama dalam menentukan syarat pensijilan bagi setiap tahap peperiksaan (UPSR, PMR dan SPM), malah ia dianggap subjek yang tidak langsung mempunyai nilai ekonomi dan keperluan pasaraan kerja. Hasilannya tidak seorang pun boleh menafikan kegagalan Sistem Pendidikan Negara dalam melahirkan insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Maka Muktamar Parti Islam Se-Malaysia Pas Kali 57 yang bersidang di Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZIM) pada 1 hingga 3 Rejab 1432H bersamaan  3 hingga 5 Jun 2011  mengusulkan agar Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil tindakan
1)  Meminda syarat pensijilan di peringkat UPSR, PMR dan SPM dengan menjadikan subjek pendidikan Islam sebagai syarat asas pensijilan bagi pelajar-pelajar beragama Islam.
2)    Meneruskan matapelajaran j-QAF yang diperkenalkan di sekolah rendah  diteruskan ke sekolah menengah untuk menjamin penguasaan Jawi, Al-Quran dan Fardu Ain kepada pelajar-pelajar beragama Islam sehingga tamat tingkatan 5.
3)    Mewajibkan ujian Tilawah Al-Quran kepada semua pelajar Islam di peringkat UPSR, PMR, dan SPM bagi memastikan semua pelajar Islam menguasai dan celik Al-Quran dan sijil khas dikeluarkan kepada pelajar-pelajar.
4)    Kursus Pendidikan Islam mesti diwajibkan ke atas mahasiswa/i Islam di setiap fakulti di semua IPTA sebagai syarat graduasi.

No comments:

Post a Comment