Friday 17 June 2011

INTISARI TAUJIHAT UST. NASRUDIN HASAN AT-TANTAWI

Alhamdulillah kita rafakkan kesyukuran kepada Allah atas kurniaan iman dan taqwa kepada kita. Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad S.A.W atas usaha baginda membolehkan kita mendapat hidayah Allah S.W.T.
 
Alhamdulillah Isnin (13/6/11) Allah S.W.T telah membawa Ust.Nasrudin Hasan al-tantawi ke Markaz PAS Kg. Kenangan. Satu perkongsian yang mantap dari Ust. Nasrudin buat kita, tambahan pula bahang muktamar masih terasa lagi kini.
 
Antara intipati taujihat semalam yang boleh ana kongsikan disini adalah saranan daripada  Ust. Nasarudin yang acapkali kita dengar bukan hanya daripada beliau sahaja tetapi pimpinan tertinggi lain seperti mursyidul am dan Tn.Guru Presiden iaitu  berkenaan penguasaan ilmu Islam.
 
Setiap daripada kita tidak kira sama ada dia pemimpin mahupun ahli, profesional mahupun ulama’, muslimin mahupun muslimat, tua mahupun muda haruslah menguasai cabang ilmu dalam Islam. Ini kerana teras parti kita ialah Islam yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. PAS yang merupakan medium dakwah harus mempunyai kaderisasi da’e dari setiap peringkat untuk berdakwah samada terhadap UMNO mahupun Non-Muslim.
 
Menyentuh isu muktamar, tohmahan UMNO dan media-media mereka yang menyatakan bahawa PAS sudah hilang  arah untuk membina Negara Islam telah disangkal oleh Ust.Nasrudin. Beliau telah menjelaskan bahawa PAS ini memperkenalkan konsep Negara Islam secara berfasa. Fasa pertama tassawur Islam itu sendiri, yakni bagaimana gambaran Negara Islam itu di bina. Maka tiba fasa kedua yakni masa memperincikan salah satu daripada kandungan atau isi Negara Islam iaitu  konsep negara berkebajikan. Pada fasa ini jugalah penerangan demi penerangan kepada non-muslim dan UMNO berkenaan ciri-ciri Islam yang syumul mesti ditingkatkan.
 
Dalam kempen negara berkebajikan pula, salah satu sudut pandang negara berkebajikan adalah membersihkan aqidah dari perkara dan fahaman yang  sesat dan aqidah yang telah dirosakkan oleh ideologi sekularisme. Ust. Nasrudin juga menjelaskan bahawa ahli PAS harus menyambut ucapan dasar Presiden ini dengan banyak melakukan amal kebajikan secara berterusan  terutama dalam melaksanakan misi dakwah.
 
Dalam konsep dakwah, kita seharusnya bijak mencatur stategi. Dakwah kini bukan hanya bersifat kekitaan sahaja. Asal ada program, mesti dilakukan di dalam masjid dan surau sahaja. Perbanyakkan ceramah dan program di luar dan tempat umum agar dakwah itu sampai kepada mad’u sasaran yang kurang kefahaman Islam dan tidak turun ke masjid atau surau.
 
Dalam masa yang sama penguasaan terhadap media baru memainkan peranan penting untuk berdakwah. Bukan sekadar itu sahaja, penguasaan media baru ini juga penting dalam politik zaman kini. Facebook, twitter, blog dan website ditambah dengan kehadiran blackberry mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat terutamanya anak muda.
 
Dalam konteks organisasi pula, teguran kepada ahli untuk hormat dan wala’ serta thiqah kepada pimpinan yang dilantik menerusi pemilihan parti tanpa rasa protes dan berfikir untuk tawaquf andaikata pimpinan itu tidak disukai oleh mana-mana individu. Kepincangan dalam organisasi tidak seharusnya didedahkan di peringkat umum dan ianya diselesaikan sesama sendiri.
 
Adab dalam berjemaah itu harus dijaga. Apabila mendapat taklifan maka pikullah amanah itu dengan penuh tanggungjawab. Teguran umum buat semua baik pimpinan mahupun ahli ialah berkenaan mesyuarat dan program. Setiap ahli dan pimpinan hendaklah sentiasa terlibat dengan aktiviti parti dan jangan ponteng serta banyak beralasan. Selain itu kita hendaklah bekerja dan jangan duduk sahaja tanpa melakukan gerak kerja Islam.
 
Pada sudut tarbiyyah, Ust. Nasrudin menegaskan pada kita agar mempertingkatkan tarbiyyah diri. Bacaan al-ma’thurat seharusnya dibaca oleh setiap ahli bagi setiap hari. Seboleh-bolehnya hendaklah dibaca 2 kali sehari yakni selepas subuh dan asar. Dalam masa yang sama, solat berjemaah diberi penekanan yang tinggi oleh Ust. Nasrudin. Terakhirnya Ust. Nasarudin mewajibkan kita untuk hadir ke perhimpunan BERSIH 2 yang akan di adakan pada 9 Julai 2011 ini.
 
Akhir tulisan saya berkenaan dengan taujihat itu, dapatlah kita fahami sesungguhnya matlamat kita menguasai tampuk kepimpinanan negara Malaysia ini bagi menegakkan hukum Islam dan agama Allah ini perlu diberi fokus.
 
Masalah kepincangan ahli jawatankuasa masjid, masalah adab dalam berjemaah, disiplin ahli yang tidak menghormati pimpinan, dan masalah-masalah cabang seharusnya tidak timbul jika kita memahami perkara ini. Apa perlu dibuka aib orang lain jika ia adalah umpatan yang diharamkan? Apa perlu kita menjadi duri dalam daging bagi jamaah jika niat baik kita sebenarnya menjadi racun perosak dan apa perlu kita menjadi orang yang boleh melambatkan kemenangan Islam di muka bumi Allah ini?
 
Fokus  pada matlamat kita yang jelas yakni menegakkan Islam di Malaysia melalui jamaah PAS dalam wasilah pilihanraya. Dalam masa yang sama penekanan aspek tarbiyyah dan dakwah diberi tumpuan yang lebih tinggi. Ingatlah bahawa hadaf kita adalah menegakkan syariah di muka bumi ini dan ghoyah akhir kita adalah mendapatkan redha Allah. Moga Allah S.W.T memberikan kita  kemenangan di dunia mahupun di akhirat. Juga moga Allah S.W.T mengampunkan segala dosa-dosa kita. Ameen
 
Muhamad Farhannaim
Unit Dakwah - Lujnah Penerangan,Dakwah PAS Kawasan Puchong

No comments:

Post a Comment