Ucapan Ketua Muslimat

Teks Perbahasan Ucaptama KM DMPNS oleh KM DMP Puchong dalam Muktamar DMPNS kali ke-24

PERSIAPAN PARA DA'IE


Yang saya hormati Puan Pengerusi Tetap, yang saya kasihi Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor Ustazah Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, Timbalan Ketua Muslimat Puan Noraini Hussin, Naib Ketua Muslimat Ustazah Mariam Abd Rashid dan saff kepimpinan muslimat, para perwakilan juga para pemerhati.

Saya mewakili Dewan Muslimat PAS Puchong telah diberi tajuk  PERSIAPAN PARA DA'I untuk dibahaskan dalam muktamar yang mulia ini.

Seperti kita semua sedia maklum sesebuah Harakah Islamiyah perlu didukungi oleh para da’i berkemampuan dan sentiasa bersedia dalam melakukan usaha-usaha ta’rif (dakwah), takwin (tarbiyah), tanfiz (pelaksanan tugas) dan tamkin (pengukuhan).

Dalam menjalankan kegiatan dakwah,setiap da’i hendaklah memiliki beberapa persiapan yang perlu untuk memastikan mereka akan terus istiqamah di atas jalan perjuangan ini.

Diantara langkah-langkah yang perlu diberikan perhatian ialah:

1) PERSIAPAN ILMU

Senjata pertama yang perlu dimilki oleh setiap da’i ialah persipan ilmu. Secara keseluruhannya,setiap da’i perlu memahami persoalan aqidah, akhlak ,hukum-hukum fiqh serta persoalan dakwah dan jihad yang merangkumi proses pembetukan jamaah , pelaksanaan dakwah , proses mengambil alih kuasa pemerintahan, penggubalan perlembagaan, pelaksanaan sistem pendidikan, sosialisasi masyarakat, penguatkuasaan undang-undang dan konsep hubungan antarabangsa Islam sebagaimana yang terkandung di dalam Al-quran, As-Sunnah dan sejarah islam.

Sekurang-kurangnya setiap da’i berkewajipan mengetahui ajaran dan sistem hidup islam secara umum, pendekatan dakwah yang sesuai digunakan dalam menghadapi masyarakat, perkembangan politik semasa. Sebagai para pendokong harakah islamiyah, setiap da’i hendaklah memahami penubuhan, perlembagaan, pengurusan dan pentadbiran harakah islamiyah yang diperjuangkannya.

Demi keberkesanan dakwah, setiap da’i perlu mengetahui ilmu dan selok-belok dakwah seperti uslub dakwah, sasaran dakwah, kandungan dakwah, strategi dakwah, perancangan dakwah dan pengurusan dakwah.

Kemantapan ilmu akan menjadikan para da’i lebih berkemampuan dalam memberikan gambaran yang jelas sama ada berkenaan asas-asas ajaran islam dan hukum-hukum islam yang bersifat ilmiah dan semasa seperti tahaluf siyasi, konsep Negara islam, kedudukan non-muslim di dalam Negara islam, hubungan antarabangsa islam dan lain-lain.

2) PERSIAPAN MENTALITI

Diantara persiapan yang perlu dimiliki oleh setiap da’i ialah sifat bijaksana (fatanah) iaitu mempunyai daya berfikir yang tinggi dalam mengembangkan fikrah dakwah, membahagikan tugasan, menyelesaikan masaalah, mengenalpasti kelemahan, mencari sasaran, membuat keputusan dan mengambil peluang daripada sesuatu kesempatan yang berkaitan dengan kepentingan dakwah islam yang diperjuangkannya.

Seseorang da’i yang telah memiliki persiapan ilmu yang memadai, mempunyai pelbagai pengalaman daripada usaha-usaha dakwahnya, bijaksana dalam memupuk daya kepimpinannya secara lansung akan memiliki mentalitinya yang tinggi dalam mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang, ancaman, taktik dan strategi yang berkesan dalam memimpin gerakan dakwah harakah islamiyah ke arah mencapai misi ,visi dan objektif yang ditetapkan.

3) PERSIAPAN JASMANI

Setiap da’i berkewajipan menjaga kesihatan jasmani dengan cara mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan berkhasiat .Lantaran itu, setiap da’i berkewajipan menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada dirinya.

Setiap da’i juga berkewajipan mempertingkatkan kekuatan dan ketangkasan anggota jasmaninya melalui aktiviti-aktiviti yang tertentu seperti bersenam, berenang ,menunggang kuda, menembak dan sebagainya.

4) PERSIAPAN ROHANI, AKHLAK, DAN DAYA KEPIMPINAN

Diantara persiapan rohani yang perlu dimilki oleh para da’i ialah meniggalkan perbuatan dosa dan maksiat, mempertingkatkan kesucian jiwa dengan sifat wara’ dan amalan ketaatan, sabar dalam mengharungi ujian dakwah serta merindui keampunan dan keredaan yang maha kuasa.

Manakala akhlak pula perlu dipersiapkan dengan secara menhindarkan daripada sifat marah , “ego” dan keras hati, membiasakan diri dengan sifat sabar dan pemaaf, menyucikannya dengan akhlak-akhlak yang mulia dan mempertingkatkannya dengan mentauladani jejak langkah Rasullah saw.

Berhubung dengan persiapan daya kepimpinan pula, setiap da’i mestilah bijak mempelajari dan mengambil pengajaran daripada pengalaman dan daya kepimpinan orang lain, seseorang da’i yang memiliki persiapan diatas diharapkan lebih berjaya dalam mempengaruhi masyarakat berbilang bangsa dan seterusanya mencapai matlamt dakwah dan politik.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, rasanya tidak sempurna  jika saya tidak menyentuh tentang PASTI atau MGP. MGP secara sedar atau tidak adalah merupakan seorang da’i dan murabbiyah yang dekat dengan ibubapa serta masyarakat dan berperanan besar untuk bersama dengan muslimat memikul beban dakwah ini.

Saya juga memohon  agar muslimat dan MGP dapat bersatu hati dan menggembeling tenaga, sama-sama terjun dalam medan ini sebagai jentera PARTI dan penggerak gerakan islam iaitu jemaah PAS yang kita dokongi ini.
 
Sekian. Terima kasih.



No comments:

Post a Comment