Sunday 1 April 2012

Ucaptema Ketua Dewan Muslimat PAS Puchong sempena Mesyuarat Agung DMP Puchong kali ke-9


KEMBALI BERTEKAD MEMBULAT JEMAAH

Assalamu’alaikum wrt wbh

Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT pemilik seluruh kerajaan langit dan bumi serta seluruh isinya. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat serta pejuang Islam hingga akhir zaman. Alhamdulillah kerana pada hari ini kita sekali lagi diberi peluang untuk bertemu dan mengadakan majlis muhasabah tahunan kita melalui  mesyuarat agung kali ke 9 Dewan Muslimat PAS Puchong.
Bagi pihak DMP Puchong, saya meraikan  kehadiran perasmi  yang saya kasihi ustazah Nuridah bt Salleh, ajk dewan Muslimat PAS Pusat yang telah sanggup meluangkan masa walaupun berhadapan dengan kesibukan tugas untuk sama-sama dengan kita bagi merasmikan mesyuarat agung dewan muslimat kali ke 9 ini. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, wakil dari PAS Kawasan Puchong, wakil Dewan Pemuda PAS Puchong, wakil Urusan Ulama’ kawasan, wakil Wanita DAP dan Ketua wanita Parti Keadilan Rakyat, para tetamu, perwakilan dan para pemerhati yang dihormati.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian,

Kepentingan mengadakan mesyuarat agung tidak dapat kita nafikan kerana muhasabah  pada  majlis ini akan membolehkan kita  mengkoreksi , mengevaluasi dan memperbaiki diri serta cara kerja jamaah supaya sentiasa maju ke hadapan melalui saranan dari semua  sahabat seperjuangan sekalian.
Firman Allah SWT
Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan(S. Al-Hasyr: 18).

Semoga keikhlasan para sahabat yang memberi muhasabah, teguran  dan nasihat  yang positif dan konstruktif  dengan penuh kasih sayang dan persaudaraan  akan memacu dewan muslimat kearah prestasi yang lebih cemerlang dan berwibawa , Insya Allah.
Para hadirin yang dihormati sekalian,

Saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri dan para hadirin yang hadir pada hari ini untuk kembali bertekad membulatkan Jemaah seperti tema mesyuarat agung kali ke 9 ini iaitu BERTEKAD MEMBULATKAN JEMAAH. Antara cara yang boleh kita lakukan adalah:

1.  Membina dan memelihara ukhwah.


Sabda Nabi SAW lagi:


Maksudnya : "Seorang yang berjalan karena menolong saudaranya lebih baik daripada beriktikaf selama sebulan di mesjidku (mesjid Nabawi)."

Ukhuwah dan persaudaraan yang kuat di antara anggota jemaah juga merupakan unsur terpenting sebagai tapak dalam perjuangan. Ukhuwah juga turut menentukan kuat atau lemahnya sebuah jemaah atau perjuangan itu. Oleh karena itu bagi setiap pejuang hendaklah masing-masing merasa bertanggung jawab untuk membina ukhuwah sekaligus mempraktekkannya dalam kehidupan serta berkorban bersungguh-sungguh dalam membina dan mengukuhkannya.

Setiap orang mesti melibatkan diri dalam membina dan mengukuhkan ukhuwah. Hal itu bukan tugas orang-orang tertentu saja. Kalau sebagian saja yang berusaha sedangkan yang lain tidak atau terdapat satu orang saja yang berusaha untuk memecahkan ukhuwah, artinya ukhuwah di kalangan anggota jemaah telah pincang. Pincang berarti akan membawa kelemahan. Lemah ukhuwah akan membawa lemahnya perjuangan. Jika perjuangan telah lemah, maka perjuangan itu akan menuju kepada kegagalan dan kehancuran.
Bersamalah kita menjaga ikatan ukhwah sesama kita kerana dengan ikatan itu sahaja segala kerja-kerja jemaah menjadi ringan dan mudah untuk kita laksanakan.


2. Meminta dan memberi maaf. 


Sebagai manusia biasa kita tidak dapat mengelakkan diri dari melakukan kesalahan. Mustahil di antara kita tidak terjadi kesalahan. Nabi SAW sendiri bersabda :
Maksudnya : "Tidak ada anak Adam, melainkan mempunyai dosa." (Riwayat Tarmizi dari Anas)


Oleh karena itu hendaklah jangan ada di antara kita yang berani dan sanggup mengaku tidak pernah bersalah. Hendaklah di kalangan kita senantiasa menyadari bahwa kita tidak dapat mengelak dari bersalah. Sebab itu kita hendaklah bersedia mengaku salah dan meminta maaf. Bagi yang tidak bersalah pula hendaklah bersedia untuk memaafkan kesalahan orang yang memohon maaf kepadanya. Puncak dalam meminta dan memberi maaf ini adalah keikhlasan yang lahir dari hati masing-masing. Hanya dengan cara yang demikian kasih sayang akan dapat terjalin dengan erat di samping dapat mengelakkan perpecahan baik yang disebabkan oleh sesama kita atau melalui orang tengah yang mencoba hendak mengadu domba kita.

3.      Saling menasihati dan tegur-menegur. 

Apabila salah seorang anggota melakukan kesalahan, maka ia perlu ditegur dan dinasehati. Dalam kita menegur dan menasehati mesti melalui beberapa peraturan dan adab-adabnya.
Perlu diingatkan bahwa menegur orang secara membabi buta, tanpa disiplin dan hikmah, bukan saja akan merusak hati orang yang melakukan kesalahan, bahkan akan memecahkan perpaduan dan mencacatkan kasih sayang (ukhuwah Islamiah).

Para hadirin yang dihormati sekalian,

MEMAHAMI TUJUAN PERJUANGAN

Kita mesti sepaham dan selaras terhadap tujuan perjuangan. Tanpa kesepahaman tentang perkara itu, jemaah kita akan pontang-panting dan riuh rendah. Contohnya seperti ini: Misalnya tujuan kita ialah ke Singapura. Jadi sepatutnya semua anggota memandang Singapura itu Singapura dan sama-sama mengarah ke sana. Tapi kalau ada yang menganggap Bangkok itu Singapura atau ada yang menganggap Kuala Lumpur itu Singapura, apa yang akan terjadi? Kalaulah semua anggota berada dalam satu kapal, apakah kapal itu dapat sampai ke Singapura? Tentu tidak, ke mana pun tidak. Singapura tidak, Bangkok tidak, Kuala Lumpur pun tidak. Sebab anggota-anggota asyik bertengkar, berebut arah, maka bukan saja kapal dapat berjalan bahkan mungkin pecah sebelum sampai ke mana-mana. Begitulah kusutnya keadaan jemaah kalau anggota-anggotanya tidak sepaham dan selaras tentang tujuan perjuangan.

Hadirin, sahabat seperjuangan yang dirahmati Allah sekalian,

Banyak tanggungjawab yang perlu digalas, dan masih banyak yang belum terlaksana. DMP Puchong sentiasa mengharapkan dan mendoakan bantuan, komitmen dan kesepaduan tindakan dari semua kita yang hadir pada hari ini dan semua sahabat di luar sana .
Perubahan Islam yang kita usahakan adalah suatu yang sukar menrealisasi kebenaran Islam dalam masyarakat  dalam aspek pemikiran, tingkahlaku dan sistem memerlukan kekuatan yang padu dalam satu gabungan yang kukuh, seimbang dan tersusun.
Sama-sama kita melawan nafsu, menyingkir sifat-sifat mazmumah, berlaku jujur terhadap Allah dan menyediakan diri menjadi jundullah dalam perjalanan yang jauh dan getir ini dengan memohon pertolongan dan rahmat Allah kerana sesungguhnya janji Allah adalah benar dan balasan syurga adalah pasti bagi mereka yang ikhlas berjuang menegakkan agamaNya,  Insya Allah.
Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa DMP Puchong dan semua yang terlibat dalam  menjayakan mesyuarat agung pada kali ini.  Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua ahli mesyuarat yang hadir kerana  tanpa kehadiran para perwakilan  sebagai suatu tuntutan perlembagaan iaitu mengadakan mesyuarat agong diperingkat Dewan Muslimat PAS Kawasan,  tidak dapat dilaksanakan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala penat lelah muslimat semua.
Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah. Wasalamu’alaikum wrt.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Norzaihan Ismail
Ketua Dewan Muslimat PAS Puchong
Sesi 2011-2013