KEMBALI BERTEKAD MEMBULAT JEMAAH
Assalamu’alaikum wrt wbh
Setinggi-tinggi
kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT pemilik seluruh kerajaan langit
dan bumi serta seluruh isinya. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi
Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat serta pejuang Islam hingga akhir
zaman. Alhamdulillah kerana pada hari ini kita sekali lagi diberi peluang untuk
bertemu dan mengadakan majlis muhasabah tahunan kita melalui mesyuarat
agung kali ke 9 Dewan Muslimat PAS Puchong.
Bagi
pihak DMP Puchong, saya meraikan kehadiran perasmi yang saya kasihi
ustazah Nuridah bt Salleh, ajk dewan Muslimat PAS Pusat yang telah sanggup
meluangkan masa walaupun berhadapan dengan kesibukan tugas untuk sama-sama
dengan kita bagi merasmikan mesyuarat agung dewan muslimat kali ke 9 ini. Saya
juga ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati Dewan Muslimat PAS Negeri
Selangor, wakil dari PAS Kawasan Puchong, wakil Dewan Pemuda PAS Puchong, wakil
Urusan Ulama’ kawasan, wakil Wanita DAP dan Ketua wanita Parti Keadilan Rakyat,
para tetamu, perwakilan dan para pemerhati yang dihormati.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian,
Kepentingan
mengadakan mesyuarat agung tidak dapat kita nafikan kerana muhasabah
pada majlis ini akan membolehkan kita mengkoreksi , mengevaluasi
dan memperbaiki diri serta cara kerja jamaah supaya sentiasa maju ke hadapan
melalui saranan dari semua sahabat seperjuangan sekalian.
Firman
Allah SWT
Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah
(dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah
tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari
amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan):
bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan
segala yang kamu kerjakan(S. Al-Hasyr: 18).
Semoga keikhlasan
para sahabat yang memberi muhasabah, teguran dan nasihat yang
positif dan konstruktif dengan penuh kasih sayang dan persaudaraan
akan memacu dewan muslimat kearah prestasi yang lebih cemerlang dan berwibawa ,
Insya Allah.
Para hadirin yang dihormati
sekalian,
Saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri dan para hadirin yang hadir
pada hari ini untuk kembali bertekad membulatkan Jemaah seperti tema mesyuarat
agung kali ke 9 ini iaitu BERTEKAD MEMBULATKAN JEMAAH. Antara cara yang
boleh kita lakukan adalah:
1. Membina dan memelihara ukhwah.
Sabda Nabi
SAW lagi:
Maksudnya : "Seorang yang berjalan karena menolong saudaranya lebih baik
daripada beriktikaf selama sebulan di mesjidku (mesjid Nabawi)."
Ukhuwah dan persaudaraan yang kuat di
antara anggota jemaah juga merupakan unsur terpenting sebagai tapak dalam
perjuangan. Ukhuwah juga turut menentukan kuat atau lemahnya sebuah jemaah atau
perjuangan itu. Oleh karena itu bagi setiap pejuang hendaklah masing-masing
merasa bertanggung jawab untuk membina ukhuwah sekaligus mempraktekkannya dalam
kehidupan serta berkorban bersungguh-sungguh dalam membina dan mengukuhkannya.
Setiap
orang mesti melibatkan diri dalam membina dan mengukuhkan ukhuwah. Hal itu
bukan tugas orang-orang tertentu saja. Kalau sebagian saja yang berusaha
sedangkan yang lain tidak atau terdapat satu orang saja yang berusaha untuk
memecahkan ukhuwah, artinya ukhuwah di kalangan anggota jemaah telah pincang. Pincang
berarti akan membawa kelemahan. Lemah ukhuwah akan membawa lemahnya perjuangan.
Jika perjuangan telah lemah, maka perjuangan itu akan menuju kepada kegagalan
dan kehancuran.
Bersamalah
kita menjaga ikatan ukhwah sesama kita kerana dengan ikatan itu sahaja segala
kerja-kerja jemaah menjadi ringan dan mudah untuk kita laksanakan.
2. Meminta dan
memberi maaf.
Sebagai manusia biasa kita
tidak dapat mengelakkan diri dari melakukan kesalahan. Mustahil di antara kita
tidak terjadi kesalahan. Nabi SAW sendiri bersabda :
Maksudnya : "Tidak ada anak Adam, melainkan mempunyai dosa."
(Riwayat Tarmizi dari Anas)
Oleh karena itu hendaklah
jangan ada di antara kita yang berani dan sanggup mengaku tidak pernah
bersalah. Hendaklah di kalangan kita senantiasa
menyadari bahwa kita tidak dapat mengelak dari bersalah. Sebab itu kita hendaklah
bersedia mengaku salah dan meminta maaf. Bagi yang tidak bersalah pula hendaklah bersedia untuk memaafkan kesalahan
orang yang memohon maaf kepadanya. Puncak dalam meminta dan memberi maaf ini
adalah keikhlasan yang lahir dari hati masing-masing. Hanya dengan cara yang demikian kasih sayang akan dapat terjalin dengan
erat di samping dapat mengelakkan perpecahan baik yang disebabkan oleh sesama
kita atau melalui orang tengah yang mencoba hendak mengadu domba kita.
3. Saling menasihati
dan tegur-menegur.
Apabila salah seorang anggota melakukan kesalahan, maka ia perlu ditegur
dan dinasehati. Dalam kita menegur dan menasehati mesti melalui beberapa
peraturan dan adab-adabnya.
Perlu diingatkan bahwa menegur orang secara membabi buta, tanpa disiplin
dan hikmah, bukan saja akan merusak hati orang yang melakukan kesalahan, bahkan
akan memecahkan perpaduan dan mencacatkan kasih sayang (ukhuwah Islamiah).
Para hadirin yang dihormati sekalian,
MEMAHAMI TUJUAN PERJUANGAN
Kita mesti sepaham dan selaras terhadap tujuan perjuangan. Tanpa kesepahaman tentang perkara itu, jemaah kita akan
pontang-panting dan riuh rendah. Contohnya seperti ini: Misalnya tujuan kita
ialah ke Singapura. Jadi sepatutnya semua anggota memandang Singapura itu
Singapura dan sama-sama mengarah ke sana. Tapi kalau ada yang menganggap
Bangkok itu Singapura atau ada yang menganggap Kuala Lumpur itu Singapura, apa
yang akan terjadi? Kalaulah semua anggota berada dalam satu kapal, apakah kapal
itu dapat sampai ke Singapura? Tentu tidak, ke mana pun tidak. Singapura tidak,
Bangkok tidak, Kuala Lumpur pun tidak. Sebab anggota-anggota asyik bertengkar,
berebut arah, maka bukan saja kapal dapat berjalan bahkan mungkin pecah sebelum
sampai ke mana-mana. Begitulah kusutnya keadaan jemaah kalau anggota-anggotanya
tidak sepaham dan selaras tentang tujuan perjuangan.
Hadirin, sahabat seperjuangan yang
dirahmati Allah sekalian,
Banyak tanggungjawab yang perlu digalas, dan masih banyak
yang belum terlaksana. DMP Puchong sentiasa mengharapkan dan mendoakan bantuan,
komitmen dan kesepaduan tindakan dari semua kita yang hadir pada hari ini dan
semua sahabat di luar sana .
Perubahan Islam yang kita usahakan adalah suatu yang
sukar menrealisasi kebenaran Islam dalam masyarakat dalam aspek
pemikiran, tingkahlaku dan sistem memerlukan kekuatan yang padu dalam satu
gabungan yang kukuh, seimbang dan tersusun.
Sama-sama kita melawan nafsu, menyingkir sifat-sifat
mazmumah, berlaku jujur terhadap Allah dan menyediakan diri menjadi jundullah
dalam perjalanan yang jauh dan getir ini dengan memohon pertolongan dan rahmat
Allah kerana sesungguhnya janji Allah adalah benar dan balasan syurga adalah
pasti bagi mereka yang ikhlas berjuang menegakkan agamaNya, Insya Allah.
Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan
terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa DMP Puchong dan semua yang terlibat
dalam menjayakan mesyuarat agung pada
kali ini. Terima kasih yang tidak
terhingga juga kepada semua ahli mesyuarat yang hadir kerana tanpa kehadiran
para perwakilan sebagai suatu tuntutan perlembagaan iaitu mengadakan
mesyuarat agong diperingkat Dewan Muslimat PAS Kawasan, tidak dapat dilaksanakan. Hanya Allah
sahaja yang dapat membalas segala penat lelah muslimat semua.
Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah. Wasalamu’alaikum
wrt.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Norzaihan Ismail
Ketua Dewan Muslimat PAS Puchong
Sesi 2011-2013
No comments:
Post a Comment